Niat yang baik tidak memadai… Amal soleh adalah ittiba us Sunnah

Maka dijawab bahawa syarat diterimanya suatu amalan tidaklah sekadar niat baik atau ikhlas, namun juga harus disertai dengan Mutaba’ah Ar Rasul (mengikuti Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam), adakah contohnya dari beliau atau tidak.

Ibnu Katsir rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah Ta’ala (yang ertinya):

“Maka siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabb-nya hendaklah dia melakukan amal shalih dan janganlah dia menyekutukan Rabb-nya dengan seorang pun dalam peribadatan kepada-Nya.” (QS. Al Kahfi: 10)

Beliau rahimahullah berkata:

[Firman Allah: "... hendaklah ia melakukan amal shalih...." Yang cocok/sesuai dengan syariat Allah. Dan firman-Nya: "... dan janganlah dia menyekutukan Rabb-nya dengan seorang pun dalam peribadatan kepada-Nya." Yang diinginkan dalam beribadah tersebut adalah wajah Allah sahaja tanpa menyekutukan-Nya. Dua rukun diterimanya amalan adalah (pertama) harus dilakukan ikhlas kerana Allah dan (kedua) amalan tersebut benar dan sesuai dengan syariat Rasulullah shallallahu alaihi wasallam." [[1]]

Dalam satu riwayat disebutkan:

Pernah datang tiga orang shahabat Nabi shallallahu alaihi wasallam ke rumah isteri-isteri beliau guna menanyakan tentang ibadah beliau. Tatkala diberitahukan kepada mereka, mereka menganggapnya kecil dan mereka berkata: “Apa kedudukan kita dibanding Nabi shallallahu alaihi wasallam, beliau telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan yang belakangan.” Berkata salah seorang dari mereka: “Aku akan solat sepanjang malam tanpa tidur selamanya.” Yang kedua berkata: “Aku akan berpuasa sepanjang tahun dan tidak akan berbuka.” Yang terakhir berkata: “Aku akan menjauhi wanita maka aku  menikah selamanya.”

Lalu datanglah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan ucapan-ucapan mereka disampaikan kepada beliau, maka beliau bersabda: “Apakah kalian yang mengatakan begini dan begitu?! Ketahuilah! Demi Allah, aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dibanding kalian dan paling bertakwa kepada-Nya, akan tetapi aku puasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku juga menikahi wanita. Siapa yang benci (berpaling) terhadap sunnahku maka ia bukan dari golonganku (orang-orang yang menjalankan sunnahku).” [[2]]

Kalau kita lihat keberadaan tiga orang ini maka kita dapatkan niat mereka yang baik iaitu untuk bersungguh-sungguh melakukan ibadah kepada Allah, namun apakah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam menyetujui perbuatan mereka? Jawabannya boleh kita lihat dari pernyataan beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam di atas.

Benar sekali apa yang diucapkan oleh shahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu anhu:

“Sederhana dalam sunnah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam perbuatan bid’ah.”

Walaupun niatnya baik tetap tertolak dengan dalil hadis Nabi shallallahu alaihi wasallam:

“Siapa yang mengada-adakan sesuatu amalan di dalam urusan (agama) kami ini dengan yang bukan bahagian dari agama ini maka amalan itu tertolak.”  [[3]]

“Siapa yang mengamalkan suatu amalan yang tidak ada perintahnya dari kami maka amalan itu tertolak.” [[4]]

Oleh itu wajib bagi kaum Muslimin mencukupkan diri dengan ibadah-ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya, tanpa menambah ataupun menguranginya.


[1]      Tafsir Ibnu Katsir, 3/114.

[2]      Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

[3]      Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam Shahih keduanya.

[4]      Diriwayatkan oleh Muslim.