07. Imam Syafie kata ia terbahagi DUA?
April 14, 2007
Betul ke… Inovasi Terbahagi Dua?
Di antara ulama-ulama besar yang berkata bid’ah itu ada yang sayyiah atau dhalalah dan ada pula bid’ah yang hasanah ialah :
Menurut al-Hafiz Abu Na’im, bahawa Harmalah bin Yahya mendengar Syafie berkata:
Bid’ah itu ada dua. Bid’ah Mahmudah (Terpuji) dan Bid’ah Mazmumah (Tercela). Maka apa yang sesuai dengan sunnah maka ialah yang terpuji dan apa yang bertentangan dengan sunnah maka tercela. [[1]] Dan beliau berhujah dengan ucapan Umar: “Sebaik-baik bid’ah, adalah ini (perbuatan ini)”.
Tidak ada dalam agama ini istilah pembahagian bid’ah menjadi bid’ah hasanah (bid’ah yang baik) dan bid’ah sayyi’ah (bid’ah yang jelek) kerana Rasulullah shallallahu alaihi wasallam telah menegaskan:
“Setiap bid’ah adalah sesat dan setiap kesesatan tempatnya di neraka.” [[2]]
“Siapa yang mengada-adakan sesuatu amalan di dalam urusan (agama) kami ini dengan yang bukan bahagian dari agama ini maka amalan itu tertolak.” [[3]]
Lalu bagaimana dengan ucapan Umar radhiallahu anhu ketika melihat pelaksanaan solat tarawih secara berjama’ah: “Sebaik-baik bid’ah adalah perbuatan ini.” [[4]]
Maka kita lihat asbabul wurutnya, bahawa yang dimahukan oleh Umar dengan ucapannya tersebut adalah pengertian bid’ah secara bahasa, bukan secara syari’at, kerana Umar mengucapkan perkataan demikian sehubungan dengan berkumpulnya manusia di bawah satu imam dalam pelaksanaan solat tarawih, sementara solat tarawih secara berjama’ah telah disyariatkan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam di mana beliau sempat mengerjakannya selama beberapa malam secara berjama’ah dengan para shahabatnya, kemudian beliau tinggalkan kerana khuatir hal itu diwajibkan atas mereka. Sehingga setelah itu manusia mengerjakan tarawih secara sendiri-sendiri atau dengan jama’ah yang terpisah-pisah (berbilang/berkelompok-kelompok).
Lalu pada masa pemerintahannya, Umar radhiallahu ‘anhu mengumpulkan mereka di bawah pimpinan satu imam sebagaimana pernah dilakukan di zaman Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, kerana wahyu telah berhenti turun dengan meninggalnya beliau Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan bererti tidak ada lagi kekhuatiran diwajibkannya perkara tersebut.
Dengan demikian Umar radhiallahu ‘anhu menghidupkan kembali sunnah tarawih secara berjama’ah dan ia mengembalikan sesuatu yang sempat terputus, maka teranggaplah perbuatannya tersebut sebagai bid’ah dalam pengertian bahasa, bukan pengertian syari’at, kerana bid’ah yang syar’i hukumnya haram, tidak mungkin Umar radhiallahu ‘anhu ataupun selainnya dari kalangan shahabat melakukan hal tersebut, sementara mereka tahu peringatan keras dari Nabi akan perbuatan bid’ah. [[5]]
Adapun di masa Abu Bakar radiallahu anhu, sunnah tarawih secara berjama’ah ini tidak sempat dihidupkan kerana khilafah beliau hanya sebentar dan ketika itu beliau disibukkan dengan orang-orang yang murtad dan enggan membayar zakat, demikian keterangan Imam Syathibi dalam kitabnya Al I’tisham, wallahu a’lam.
Semoga Allah merahmati shahabat Nabi, Abdullah Bin Umar radiallahu anhuma yang berkata: “Setiap bid’ah adalah sesat sekalipun manusia memandangnya baik.”
Nanti semua inovasi tergolong kepada inovasi baik. tak ada yang tak baik.
[1] Kitab Al-Hilyah 9/13 pada tarjamah Syafie
[2] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahih-nya, sedang tambahannya diriwayatkan dalam Sunan Nasa’i.
[3] HR. Bukhari dan Muslim dalam Shahih keduanya
[4] Diriwayatkan oleh Bukhari.
[5] Dzahirut Tabdi’, halaman 43-44.